Home Site Map FAQ Contact Us
CTRM
 
 

Press Release

 

CTRM bina pesawat marin ringan Airfish8
Oleh AMRAN MULUP
pengarang@utusan.com.my


MELAKA 27 Okt. - Anak syarikat Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM), CTRM Aviation Sdn. Bhd. (CTRM Aviation) akan memulakan kerjasama strategik dengan Wigetworks Pte. Ltd. (Wigetworks) dari Singapura bagi membina pesawat ringan pengangkutan marin yang dikenali Airfish 8.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTRM, Datuk Rosdi Mahmud berkata, melalui kerjasama tersebut, CTRM akan dapat membangunkan teknologi baharu yang belum diterokai oleh mana-mana pihak bagi membina pesawat ringan untuk sebarang kegunaan di laut.
Menurut beliau, melalui perjanjian yang dimeterai selama dua tahun itu, pihaknya akan membina antara sebuah atau dua buah pesawat sebagai permulaan membangunkan teknologi baharu tersebut.
Tambahnya, dalam jangka panjang, pihaknya bercadang untuk mengeluarkan sebuah pesawat setiap bulan dengan nilai kontrak yang boleh mencecah lebih daripada RM100 juta.


''Airfish 8 boleh menjadi sebuah kapal dan pesawat yang amat sesuai untuk dijadikan sebagai pengangkutan marin.
''Pesawat ini direkabentuk untuk kegunaan awam dan mempunyai banyak kelebihan seperti mampu terbang antara dua hingga enam meter daripada paras laut, berkelajuan tinggi dan berupaya mendarat di atas air," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pemeteraian perjanjian antara CTRM Aviation dan Wigetworks di sini hari ini.
Perjanjian bernilai RM5.5 juta itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif CTRM Aviation, Abd. Razak Mohamad Zin dan Pengurus Besar Wigetworks, Kenneth Tan.


Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Rosdi menyaksikan majlis menandatangani perjanjian berkenaan.
Menurut Rosdi, pembinaan pesawat itu adalah bagi memenuhi keperluan permintaan dalam industri minyak dan gas, pelancongan, pengangkutan marin dan mengawasi kawasan perairan.


Beliau menambah, pesawat yang boleh memuatkan lapan hingga 10 penumpang termasuk dua krew pada satu-satu masa akan memudahkan membawa pekerja berulang-alik dari kawasan pantai ke pelantar minyak yang jauh di tengah laut dengan pantas dan menjimatkan.
Sehubungan itu katanya, kerja-kerja pembinaan akan bermula hujung tahun ini dengan pengeluaran acuan dan peralatan diikuti pra pengeluaran pesawat yang dijangka siap Disember tahun depan.

 
 
 
 
 
Copyright Reserved © 2008, Composites Technology Research Malaysia.