Home Site Map FAQ Contact Us
CTRM
 
 

Press Release

 

CTRM BANTU TINGKAT INDUSTRI PERTAHANAN SERANTAU

Pesanan tempahan RM6.2 bilion bukti kepakaran tempatan diiktiraf

MENGEMBANGKAN industri keselamatan dan pertahanan negara mesti ditunjangi tanggungjawab yang bersendikan patriotisme supaya kesan operasinya turut menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi, keselamatan dan kemakmuran rakyat.

Menggerakkan sesuatu perusahaan berteknologi tinggi, sensitif dan strategik, kalangan industri tidak boleh semata-mata berorientasikan kepentingan komersial, tetapi harus mengamalkan diplomasi industri pertahanan yang digabungkan dengan diplomasi ketenteraan dan diplomasi kerajaan.
Penggabungan tiga diplomasi itu mampu mempercepatkan perkembangan industri berkenaan kerana ada unsur kepercayaan dalam kalangan industri serta negara sehingga akhirnya rakyat semua negara terbabit menikmati kesannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM), Datuk Rosdi Mahmud, berkata pemain industri itu tidak boleh meminggirkan patriotisme dalam perniagaan dan mementingkan keuntungan semata-mata, malah membantu mengembangkan manfaat khidmat atau produk dihasilkan kepada sektor awam.

“Kita mesti tengok industri pertahanan bukan dari sudut pertahanan semata-mata tetapi perniagaan supaya perusahaan dapat diteruskan dan pada masa sama kita boleh kembangkan (produk atau perkhidmatan) untuk kegunaan sektor lain.

“Dari segi perniagaan, mewujudkan kepentingan jangka panjang adalah strategi yang baik. Kita kena ada situasi menang-menang... anda bekerja untuk negara dan pada masa sama melihat perniagaan jangka panjang.

“Semangat kenegaraan atau patriotisme kena ada dan pada masa sama, kita mesti faham arah tuju yang ditetapkan kerajaan. Contohnya, Program Transformasi Kerajaan (ETP) dan matlamat mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi. Jadi, CTRM mesti melakukan transformasi dengan mewujudkan lebih banyak bidang berkemahiran tinggi serta profesional supaya kita dapat menyumbang kepada usaha mewujudkan masyarakat berpendapatan tinggi. Kita tidak boleh menjadi buruh atau tukang pasang. Kita kena beralih ke arah teknologi masa depan. Jadi strategi CTRM ialah strategi perniagaan yang diselaraskan dengan strategi negara yang saya rasa mesra perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, diplomasi ketenteraan adalah baik tetapi perlu ada diplomasi industri pertahanan sebagai inisiatif lain yang membawa manfaat kepada awam.

“Kalau kita lihat, kita juga mahu pembangunan lain juga. Jadi, kalau kita boleh selaras dan perkukuhkan industri pertahanan kita di Malaysia dan serantau. Kalau kita ada diplomasi industri pertahanan, industri itu menggerakkan diplomasi industri lain.

“Contoh, kalau saya ada kerjasama dengan Kemboja dalam membekalkan UAV (pesawat tanpa pemandu) untuk aplikasi ketenteraan dan Kemboja pun ada masalah dari segi pengawalan hutan, jadi UAV juga boleh digunakan untuk industri awam. Jadi, sudah ada kepercayaan di situ. Kita bukan saja fokus kepada soal ketenteraan yang ada hubungan begitu kukuh, malah kita kembangkan impaknya kepada rakyat negara berkenaan,” katanya.
CTRM yang mengeluarkan UAV dan pelbagai produk komposit untuk pembuatan pesawat, turut menyediakan pelan jangka panjang, khususnya membangunkan teknologi yang memenuhi keperluan tempatan bukan saja dari aspek ketenteraan dan pertahanan, malah merangkumi agensi penguat kuasa seperti polis dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) sambil mengintai peluang dalam sektor awam seperti Jabatan Perikanan, Jabatan Perhutanan serta Jabatan Parit dan Saliran (JPS).

Rosdi melihat potensi industri keselamatan dan pertahanan di Malaysia sangat cerah serta mempunyai banyak bidang yang boleh dikembangkan. Kerajaan sudah menggariskan pelan induk tetapi kalangan industri perlu mempunyai strategi lebih mantap. Dari segi pengalaman, CTRM perlu menjalinkan kerjasama dengan syarikat luar dan saling bekerjasama di antara syarikat Malaysia sendiri untuk mengambil peluang daripada potensi itu.

“Dalam pembuatan UAV, misalnya ia bukan semata-mata produk yang dihasilkan CTRM tetapi hasil jalinan kerjasama dengan tiga syarikat tempatan lain,” katanya sambil memberitahu CTRM sedang menceburi bidang baru iaitu integrasi sistem.

“Integrasi sistem ini saya lihat potensinya terlalu besar. Saya rasa ini satu antara keutamaan untuk memajukan industri pertahanan di Malaysia,” katanya sambil merujuk bidang itu dalam industri perkapalan serta pesawat yang akan diteroka dan dibangunkan CTRM System Integration.

“Sama ada di Malaysia dan rantau ini, integrasi sistem masih kurang diceburi. Bila kita berjaya menguasai teknologi ini dan ada kemampuan kemahirannya, teknologi itu kita boleh gunakan untuk banyak perkara,” katanya.

Mengenai sokongan kerajaan bagi memastikan industri itu dipacu dengan lebih pesat, Rosdi berkata, dasar kerajaan untuk industri itu memang mantap dan kini terpulang kepada pemain industri mengoptimumkan peluang daripada bersikap terlalu meminta atau mengharapkan sokongan kerajaan.

“Kita kena melihat apa yang boleh kita buat berbanding apa yang kerajaan boleh bantu atau beri. Ada masanya kita perlukan bantuan atau sokongan, tetapi kita mesti melihat itu sebagai memudahkan program kita. Kerajaan menyediakan kemudahan dari segi cukai, geran, insentif dan pemindahan teknologi. CTRM mempunyai strategi tersendiri untuk mengembangkan perniagaan dan menggunakan kemudahan yang ada berbanding melihat kemudahan itu itu sebagai keperluan. Kita menjadikan kemudahan itu untuk terus berkembang,” katanya.

Difahamkan, ada sehingga 3,000 syarikat terbabit dengan industri pertahanan dan keselamatan di negara ini dan Rosdi berpendapat, menggabungkan syarikat itu mengikut bidangnya adalah cara terbaik memperkukuhkan kedudukan.

“Di Eropah pun cuma ada beberapa syarikat besar dalam industri pertahanan. Syarikat induk ini mestilah bukan saja boleh berdaya saing di Malaysia tetapi mesti syarikat tempatan yang ada status serantau.

“Jadi, kita bukan saja dapat memasuki pasaran di Malaysia malah di luar.
Syarikat induk ini juga boleh bekerjasama dengan syarikat global lain,” katanya sambil memberitahu situasi itu turut mendorong pelaksanaan program vendor.
Namun syarikat kecil juga perlu membina teknologi, kemudahan dan tenaga kerja mahir bagi membolehkan ia ada nilai jika hendak bergabung dengan syarikat lain.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Aeroangkasa, berkata industri keselamatan dan pertahanan negara perlu melakar strategi jangka panjang, mencipta dan membangunkan teknologi sendiri serta mempunyai perkongsian strategik dengan syarikat tempatan mahupun asing.

“Yang penting, industri ini mesti mampu menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara dari segi menyediakan peluang kerja profesional serta membantu pembangunan teknologi negara,” katanya.

CTRM adalah antara contoh kejayaan industri keselamatan dan pertahanan di Malaysia selain bukti kelebihan jika menguasai sesuatu teknologi. Rata-rata daripada 1,200 kakitangannya adalah profesional, khususnya jurutera. Ketika ini, purata perolehan operasinya lebih kurang RM300 juta setahun.

“Dari segi nilai pesanan tempahan atau pesanan yang sudah disahkan, kita ada lebih kurang RM6.2 bilion,” katanya

Oleh Kamal Ahmad
mohdkamal@bharian.com.my
2011/02/08

 
 
 
Copyright Reserved © 2008, Composites Technology Research Malaysia.