Home Site Map FAQ Contact Us
CTRM
 
 

Press Release

 

CTRM JANGKA RAIH UNTUNG RM665J
 
Kontrak Boeing, Eurocopter, Korean Air Line mampu lonjak pendapatan

COMPOSITES Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM) yang sedang melaksanakan langkah perluasan perniagaan secara agresif tahun ini, mengunjurkan mampu meraih pendapatan mencecah RM665 juta, naik lebih sekali ganda berbanding purata RM300 juta setahun sebelum ini.
Ketua Eksekutif Kumpulannya, Datuk Rosdi Mahmud, berkata CTRM kini menerima kontrak tempahan baru antaranya daripada Boeing dan Eurocopter, manakala pada peringkat Asia membabitkan kontrak dengan Korean Air Line (KAL).
Beliau berkata, CTRM yang mempunyai enam anak syarikat, kini memperoleh kontrak daripada KAL membabitkan pembuatan struktur komposit Boeing 737 bernilai RM43 juta tahun lalu dan menjangkakan kontrak kedua tahun ini membabitkan komponen komposit Air-bus A320 dianggarkan RM500 juta bagi tempoh sehingga 2015.

KAL adalah pelanggan pertama CTRM dari Asia sejak syarikat pembuat struktur komposit itu beroperasi pada 1990. Syarikat itu juga membekalkan produk pertahanan dan keselamatan termasuk pesawat tanpa pemandu (UAV).

Beliau berkata, kontrak baru iaitu untuk pesawat Airbus dan Boeing dengan pelanggan sedia ada seperti Spirit Aero System serta Goodrich, dijangka bernilai sehingga RM90 juta untuk tahun ini.

Penghantaran sulung pelbagai komponen komposit untuk Airbus adalah pada suku kedua 2011 dan ia adalah komponen komposit ke-3,000 untuk Spirit Aero, manakala struktur komposit ‘Engine Nacelle/Fan Cowl’ kepada Goodrich, akan dihantar bulan ini.
“Satu lagi pelanggan baru CTRM ialah Eurocopter yang meminta pembekalan komponen komposit EC130 Fenestron dianggarkan bernilai RM32 juta, juga untuk tahun ini,” katanya ketika ditemui di Cyberjaya, baru-baru ini.

Rosdi berkata, pembuatan komponen komposit pesawat Airbus Military A400M yang tergendala pada 2009 atas sebab teknikal yang dialami pemilik utama pesawat itu, akan disambung semula tahun ini.

Beliau berkata, CTRM juga sedang membangunkan konsep integrasi sistem yang potensinya sangat besar tetapi masih belum diceburi secara pesat pada peringkat domestik, serantau mahupun global.

“Konsep dan strategi CTRM pada 2011 turut berubah apabila kami bukan saja memberi fokus mengenai pengembangan syarikat, malah memikirkan soal penggabungan, pengambilalihan mahupun meneroka usaha sama dengan syarikat lain,” katanya.

Dalam fokus dan perancangan jangka panjang syarikat sehingga 2015, CTRM menyasarkan perolehan paling minimum RM1 bilion dan keuntungan bersih melebihi RM100 juta setahun.

Menjelang 2020 pula, CTRM mahu menguasai sekurang-kurangnya 20 peratus dengan nilai RM10 bilion bagi pasaran industri keselamatan dan pertahanan tempatan negara.

Meneruskan perniagaan teras dalam bidang komposit, CTRM akan mempertingkatkan aktiviti pembaikan komposit dalam perkhidmatan selenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) melalui kerjasama strategik dengan syarikat MRO luar negara untuk muncul sebagai syarikat terunggul dalam bidang itu di rantau ini.

“CTRM juga menjangkakan dengan peningkatan status dan aktiviti MRO akan menjana pendapatan bernilai kira-kira RM33 juta dalam tempoh lima tahun ini,” katanya.

Syarikat itu turut terbabit dalam bidang maritim apabila menyempurnakan tempahan 12 bot Leisurecat ke Australia melalui kerjasama strategik dengan Leisurecat Australia, tahun lalu.

“CTRM sedang berusaha menjalin kerjasama strategik dengan sebuah syarikat pembuat katamaran dan bot dari Australia untuk pasaran seluruh dunia,” katanya.

Oleh Kamal Ahmad
bhbiz@bharian.com.my
2011/02/21

 
 
 
Copyright Reserved © 2008, Composites Technology Research Malaysia.