21 Oktober 2008:
Kerajaan akan menyemak semula pebagai insentif yang
diberikan kepada industri aeroangkasa negara bagi
menarik kemasukan lebih banyak pelabur dan syarikat
asing untuk menempatkan operasi dan kemudahan mereka
di Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Adbdullah Ahmad Badawi,
berkata industri aeroangkasa negara yang kini bernilai
RM38 bilion dan menyumbang 3.65 peratus kepada Keluaran
Dalam Negara Kasar (KDNK) dianggap sebagai industri
strategik yang boleh dikembangkan lagi berikutan
potensi besar yang mampu ditawarkan negara.
Katanya, pada 2007, industri itu sudah menjana
pelaburan modal keseluruhan sebanyak RM300 juta
dengan 49 peratus adalah pelaburan asing.
“Kita akan semak semula beberapa insentif
berkaitan industri ini menjadi lebih menarik. Banyak
syarikat aeroangkasa asing berminat melabur dengan
menempatkan beberapa kemudahan di sini terutama
membuka perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan
dan baik pulih pesawat atau MRO,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan
mesyuarat kelima Majlis Aeroangkasa Malaysia (MAC)
di bangunan Parlimen, semalam. Hadir sama Timbalan
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
MAC adalah badan pengemudi peringkat nasional yang
menyediakan garis panduan dasar dan mengenal pasti
keutamaan aktiviti aeroangkasa negara.
Abdullah berkata, antara kelebihan dan daya penarik
industri aeroangkasa Malaysia ialah kecekapan tenaga
kerja tempatan terutama keupayaan institusi pengajian
tinggi tempatan menyediakan tenaga kerja profesional
yang diperlukan.
Katanya, hingga kini daripada 53,000 kakitangan
dalam industri itu, 99 peratus adalah rakyat Malaysia.
Beliau berkata, antara syarikat aeroangkasa tempatan
yang menunjukkan potensi pertumbuhan besar ialah
Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd
(CTRM), Ikramatic Systems Sdn Bhd dan Systems Consultancy
Services Sdn Bhd.
Katanya, syarikat berkenaan yang terbabit dalam
pengeluaran ‘unmanned aerial vehicle’
(UAV) akan membolehkan Malaysia menjadi pengeksport
jentera berkenaan di pasaran global.
“Sejajar pencapaian itu, kerajaan akan pertimbangkan
perkara yang diperlukan syarikat berkenaan untuk
mengembangkan operasi mereka,” katanya.
(Sumber: Berita Harian)